Ahad, 19 Oktober 2008

JANGAN COBA2 BULI BN..!!!

Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR
KUALA LUMPUR 19 Okt. - Parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) terutama MCA dan Gerakan diberi amaran jangan cuba hendak membuli UMNO semata-mata mahu meraih kembali populariti di kalangan kaum masing-masing selepas pilihan raya umum lalu.
Beberapa pemimpin UMNO berkata, tindakan parti terbabit sengaja memainkan sentimen hak Melayu dan bumiputera yang telah termaktub dalam kontrak sosial amat tidak sihat.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, tindakan pemimpin parti komponen itu yang terpengaruh dengan dakyah parti pembangkang bahawa UMNO membuli mereka mampu menggugat keharmonian kaum di negara ini.
Beliau berkata, persepsi bahawa UMNO membuli rakan komponen tidak boleh diterima sama sekali kerana parti terbesar kaum Melayu itu sering berkompromi mengenai hak-hak kaum lain dalam pelbagai hal.
''Kalau UMNO membuli parti lain, UMNO tidak akan memberi peluang kepada wakil rakyat dari parti komponen untuk bertanding dalam pilihan raya di kawasan yang majoritinya penduduk Melayu.
''Hakikat yang kita lihat, wakil rakyat Gerik (Datuk Tan Lian Hoe-Gerakan) merupakan wakil rakyat yang bukan dari UMNO dan beliau menang di situ," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri Khairul Group of Associates di sini hari ini.
Sebelum itu beliau diminta mengulas kenyataan pakatan pembangkang yang mengatakan UMNO sebagai parti pembuli dalam BN.
Mohamed Khaled memberitahu, apa yang menyedihkan ialah persepsi sebegitu turut disuarakan oleh beberapa parti komponen BN yang secara jelas terpengaruh dengan dakyah pembangkang.
Menurutnya, dakyah yang disuarakan oleh pakatan pembangkang itu didorong oleh matlamat mereka untuk melemahkan BN selain tidak memahami sejarah perjuangan bapa-bapa kemerdekaan daripada UMNO, MCA dan MIC.
''Pakatan pembangkang sebenarnya tidak mempunyai dasar dan hanya memberikan reaksi terhadap pergerakan BN.
''Jika dikaji sejarah penubuhan Malaysia serta hak-hak dalam kontrak sosial, ia sebenarnya mencerminkan komposisi kaum di negara ini yang mana 60 hingga 70 peratus penduduknya adalah kaum Melayu dan bumiputera," tegasnya.
Dalam pada itu, Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Idris Haron menyelar usul Pemuda MCA Perak yang mahukan Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) berhubung kenyataannya mengenai kuota biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
''Kenyataan Khairy bukan mahu menafikan hak biasiswa bukan Melayu sebaliknya beliau mahu kuota biasiswa bagi Melayu dan bumiputera tidak dikurangkan selari dengan pertambahan hak biasiswa bukan Melayu," katanya.
Gesaan tersebut, kata beliau, mencerminkan Pemuda MCA tidak mempunyai modal dalam usaha meraih kembali sokongan kaum Cina di negara ini selepas pilihan raya umum Mac lalu.
Menurutnya, Pemuda MCA Perak dan Pemuda MCA Kebangsaan perlu bermuhasabah diri dan jangan mengeksploitasi perkara-perkara yang tidak benar.
''Jika mereka (Pemuda MCA) berjaya memenangi kembali kerusi-kerusi yang dirampas oleh DAP di bandar-bandar besar, barulah suara mereka boleh diterima," jelasnya.
Sementara itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Mohamad Norza Zakaria berkata, gesaan Pemuda MCA itu mencerminkan kedangkalan pemikiran pemimpin pergerakan tersebut.
Menurutnya, suara pemimpin kecil itu yang mahu menjadi wira bagi kaum Tionghua tidak perlu diberikan perhatian.
''Ini merupakan contoh parti komponen yang mahu membuli UMNO terutama selepas pilihan raya 8 Mac lalu," jelasnya.

Rabu, 15 Oktober 2008

HINDRAF KUMPULAN HARAM

Oleh Muhammad Dayne Azmin-UTUSAN MELAYU
KUALA LUMPUR 15 Okt. – Kerajaan hari ini mewartakan Hindu Rights Action Force (Hindraf) sebagai sebuah pertubuhan haram, satu tindakan yang menetapkan penglibatan sesiapa juga dalam pertubuhan itu merupakan satu kesalahan dari segi undang-undang.
Dalam satu kenyataan, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, perintah itu dibuat hasil daripada pemantauan dan penyiasatan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) semenjak pertubuhan berkenaan ditubuhkan.
“Pengisytiharan itu diwartakan berkuat kuasa hari ini setelah (KDN) berpuas hati dengan segala fakta dan bukti bahawa Hindraf telah dan sedang digunakan bagi maksud memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan negara dan akhlak,” katanya.
Selain Hindraf, antara pertubuhan lain yang pernah diwartakan sebagai haram ialah Parti Komunis Malaya (PKM), Nasrulhaq, Al-Maunah dan Al-Arqam.
PKM diwartakan sebagai pertubuhan haram kerana mengangkat senjata menentang kerajaan dan pemberontaknya mencetuskan kacau bilau melalui cara keganasan dan membunuh anggota tentera sejak zaman sebelum merdeka.
Pergerakan Al-Arqam diharamkan berikutan kegiatan dan ajaran sesatnya menggugat ketenteraman negara.
Anggota-anggota Al-Maunah pula merompak senjata dari kem tentera bagi menggulingkan kerajaan. Beberapa ketuanya kemudian dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan memerangi Yang di-Pertuan Agong dan dijatuhkan hukuman gantung sampai mati.
Menurut Syed Hamid, kegiatan Hindraf bertentangan dengan Seksyen 5(1) Akta Pertubuhan 1966 dan ia boleh memudaratkan keselamatan awam, keamanan, ketertiban dan nilai-nilai moral di negara ini.
Beliau berkata, jika kegiatan Hindraf tidak dibendung, ketenteraman awam dan kedaulatan negara bakal terancam di samping keharmonian hidup masyarakat berbilang kaum akan turut terjejas.
Jelasnya, tindakan pengharaman yang diambil itu bukan berasaskan kepada satu atau dua kegiatan Hindraf yang menyalahi peraturan dan undang-undang tetapi meliputi rentetan semua kegiatan serta aktiviti semenjak Hindraf ditubuhkan.
Selain itu, beliau mengakui Hindraf mempunyai ciri-ciri sebagai sebuah pertubuhan kerana mengemukakan permohonan pendaftaran kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia pada 16 Oktober 2007.
Walaupun pendaftarannya tidak pernah diluluskan, pertubuhan Hindraf telah bergerak aktif dengan menganjurkan beberapa perhimpunan awam dan demonstrasi tanpa permit serta mengeksploitasi isu-isu perkauman.
Kesan kegiatan Hindraf itu, ujar Syed Hamid, ia mencetuskan kebangkitan penentangan sebahagian rakyat keturunan India terhadap kerajaan serta menimbulkan kebencian di antara orang Melayu dan India di negara ini.
Di samping itu, Hindraf juga, kata beliau, berusaha mendapatkan sokongan dari negara asing bagi memberi tekanan kepada kerajaan supaya tunduk kepada tuntutan-tuntutan mereka sehingga memberi kesan buruk kepada imej negara.
Menteri Dalam Negeri itu menasihatkan orang ramai supaya tidak melibatkan diri dengan pertubuhan Hindraf yang diharamkan dalam apa cara sekali pun pada masa akan datang.

Isnin, 13 Oktober 2008

GERAKAN PERLU AMBIL TINDAKAN..!!!!!

KUALA LUMPUR 13 Okt. - Pucuk pimpinan Gerakan harus menilai tindakan yang perlu diambil ke atas Ketua Wanita Gerakan, Datuk Tan Lian Hoe yang mengeluarkan kenyataan mempertikaikan asal usul kaum Melayu di negara ini ketika berucap pada persidangan parti itu Jumaat lalu.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Johor, Razali Ibrahim (gambar) berkata, pemimpin sewajarnya berhati-hati apabila mengeluarkan kenyataan khususnya perkara- perkara yang membabitkan sensitiviti kaum dalam negara ini.
Katanya, isu perkauman ini sering kali dibangkitkan oleh ahli-ahli politik dan bukannya rakyat.
''Oleh itu, ahli- ahli politik ini harus bertanggungjawab setiap kali mengeluarkan kenyataan kerana ia hanya akan menimbulkan kemarahan rakyat,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KPKKW) di sini hari ini.
Razali yang juga Ahli Parlimen Muar itu memberitahu, Gerakan harus mengambil iktibar masalah yang menimpa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Bendera, Datuk Ismail Ibrahim.
Beliau turut melahirkan kekesalan terhadap Lian Hoe yang sewajarnya lebih sensitif apabila membuat sebarang kenyataan kerana tidak semua orang melihatnya sebagai Ketua Wanita Gerakan.
''Rakyat mungkin lebih mengenali Lian Hoe sebagai Timbalan Menteri Penerangan, oleh itu dia perlu tahu apa yang dikatakannya agar tidak disalah anggap oleh rakyat,'' ujarnya.
Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Shafie Apdal pula berpendapat, pemimpin perlu dibekalkan dengan ilmu supaya dapat memahami budaya pelbagai kaum.
Sehubungan itu, jelasnya, apabila seseorang pemimpin itu membuat sebarang kenyataan, dia perlu tahu had agar kata-katanya kelak tidak disalah anggap oleh pihak lain.
''Oleh kerana tidak adanya kefahaman berkenaan sesuatu isu lalu kita mengeluarkan sesuatu kenyataan dan itu mungkin merupakan satu kenyataan yang bercanggah dengan sejarah,'' jelasnya.
utusan melayu - 141008

Selasa, 7 Oktober 2008

TEGAS TANGANI HINDRAF!!!

Pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan mahu tindakan tegas dikenakan ke atas Hindu Rights Action Force (Hindraf) kerana didakwa mempunyai agenda tersendiri ketika penyokongnya bertindak tidak sopan sewaktu menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dan menteri-menteri Kabinet Rabu lalu.Pensyarah Kanan Jabatan Politik Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Sivamurugan Pandian mendakwa kehadiran mereka pada majlis itu bukan untuk memperjuangkan pembebasan lima pemimpin Hindraf, sebaliknya sengaja mahu membuat kacau dan mencetuskan kemarahan para pemimpin negara.
Sehubungan itu, beliau mempersoalkan kejujuran mereka dalam membela nasib lima pemimpin Hindraf yang kini ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).‘‘Mereka sebenarnya tidak mahu kelima-lima tahanan itu dibebaskan. Mereka sengaja mahu menimbulkan kekacauan pada majlis yang dihadiri oleh para pemimpin negara,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas tindakan para penyokong Hindraf mencetuskan kekecohan sewaktu menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dan menteri-Menteri Kabinet di Pusat Dagangan Dunia Putra pada hari raya pertama. Dalam pada itu, Timbalan Presiden MIC, Datuk S. Veerasingam berkata, tindakan penyokong Hindraf itu memberi gambaran negatif terhadap kaum India negara ini.
‘‘Tafsiran kaum lain terhadap kaum India mungkin terjejas selepas tindakan yang tidak bermoral kumpulan tersebut.‘‘Budaya kaum India menyinggung perasaan kaum lain pada perayaan mereka,’’ jelasnya.Sementara itu, Ketua Umum Barisan Bertindak Perpaduan Melayu, Osman Abu Bakar berharap kerajaan dapat mengambil langkah yang tegas dengan mengenakan tindakan undang-undang ke atas ahli Hindraf yang tidak menghormati perayaan agama kaum lain.
‘‘Mereka sudah keterlaluan, Hari Raya Aidilfitri merupakan perayaan yang disambut umat Islam setelah sebulan berpuasa,” katanya.Menurut Osman, selama ini, masyarakat Islam di Malaysia tidak pernah mengganggu perayaan agama lain dan amat menghormati agama yang dianuti kaum lain.Presiden Persatuan Bekas-Bekas Tentera Malaysia (PBTM), Datuk Muhammad Abdul Ghani pula memberitahu, kerajaan tidak sewajarnya ‘memberi muka’ kepada Hindraf yang seolah-olah mahu berlagak seperti hero kepada masyarakat India.
Katanya lagi, tindakan tegas perlu diambil bagi mengelakkan perkara seumpama itu berlarutan sehingga akhirnya sukar dibendung.‘‘Hindraf merupakan golongan yang terpelajar tetapi tindakan mereka itu seperti rakyat kelas ketiga yang tidak mencerminkan latar belakang akademik mereka,’’ tegasnya.
Dalam pada itu, Presiden Bekas-Bekas Polis, Shafie Bakri berkata, tindakan Hindraf yang agresif boleh mengundang bahaya dan tingkah laku mereka itu jelas bertentangan dengan peraturan negara.‘‘Perkara ini tidak boleh dibiarkan, Hindraf sudah naik tocang, perlakuan mereka macam kaduk naik junjung,’’ tegas beliau.
Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Wira Syed Ali Alhabshee berkata, kerajaan tidak perlu mengambil sikap ‘tunggu dan lihat’ kerana perlakuan anggota Hindraf sudah sampai ke tahap yang benar-benar menguji kesabaran orang Melayu dan umat Islam.
‘‘Hindraf adalah pertubuhan haram, tetapi saya hairan kenapa KDN masih membisu dan tidak berbuat apa-apa. Mereka telah mencemari perayaan umat Islam dengan perlakuan yang kurang ajar dan amat menyinggung perasaan orang Melayu di negara ini.
‘‘Perdana Menteri secara terbuka telah meluahkan perasaan kecewa terhadap mereka, maka saya mendesak Menteri Dalam Negeri supaya bertindak segera,’’ katanya.

SUMBER : UTUSAN MALAYSIA 081008