Selasa, 7 Oktober 2008

TEGAS TANGANI HINDRAF!!!

Pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan mahu tindakan tegas dikenakan ke atas Hindu Rights Action Force (Hindraf) kerana didakwa mempunyai agenda tersendiri ketika penyokongnya bertindak tidak sopan sewaktu menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dan menteri-menteri Kabinet Rabu lalu.Pensyarah Kanan Jabatan Politik Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Sivamurugan Pandian mendakwa kehadiran mereka pada majlis itu bukan untuk memperjuangkan pembebasan lima pemimpin Hindraf, sebaliknya sengaja mahu membuat kacau dan mencetuskan kemarahan para pemimpin negara.
Sehubungan itu, beliau mempersoalkan kejujuran mereka dalam membela nasib lima pemimpin Hindraf yang kini ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).‘‘Mereka sebenarnya tidak mahu kelima-lima tahanan itu dibebaskan. Mereka sengaja mahu menimbulkan kekacauan pada majlis yang dihadiri oleh para pemimpin negara,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas tindakan para penyokong Hindraf mencetuskan kekecohan sewaktu menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dan menteri-Menteri Kabinet di Pusat Dagangan Dunia Putra pada hari raya pertama. Dalam pada itu, Timbalan Presiden MIC, Datuk S. Veerasingam berkata, tindakan penyokong Hindraf itu memberi gambaran negatif terhadap kaum India negara ini.
‘‘Tafsiran kaum lain terhadap kaum India mungkin terjejas selepas tindakan yang tidak bermoral kumpulan tersebut.‘‘Budaya kaum India menyinggung perasaan kaum lain pada perayaan mereka,’’ jelasnya.Sementara itu, Ketua Umum Barisan Bertindak Perpaduan Melayu, Osman Abu Bakar berharap kerajaan dapat mengambil langkah yang tegas dengan mengenakan tindakan undang-undang ke atas ahli Hindraf yang tidak menghormati perayaan agama kaum lain.
‘‘Mereka sudah keterlaluan, Hari Raya Aidilfitri merupakan perayaan yang disambut umat Islam setelah sebulan berpuasa,” katanya.Menurut Osman, selama ini, masyarakat Islam di Malaysia tidak pernah mengganggu perayaan agama lain dan amat menghormati agama yang dianuti kaum lain.Presiden Persatuan Bekas-Bekas Tentera Malaysia (PBTM), Datuk Muhammad Abdul Ghani pula memberitahu, kerajaan tidak sewajarnya ‘memberi muka’ kepada Hindraf yang seolah-olah mahu berlagak seperti hero kepada masyarakat India.
Katanya lagi, tindakan tegas perlu diambil bagi mengelakkan perkara seumpama itu berlarutan sehingga akhirnya sukar dibendung.‘‘Hindraf merupakan golongan yang terpelajar tetapi tindakan mereka itu seperti rakyat kelas ketiga yang tidak mencerminkan latar belakang akademik mereka,’’ tegasnya.
Dalam pada itu, Presiden Bekas-Bekas Polis, Shafie Bakri berkata, tindakan Hindraf yang agresif boleh mengundang bahaya dan tingkah laku mereka itu jelas bertentangan dengan peraturan negara.‘‘Perkara ini tidak boleh dibiarkan, Hindraf sudah naik tocang, perlakuan mereka macam kaduk naik junjung,’’ tegas beliau.
Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Wira Syed Ali Alhabshee berkata, kerajaan tidak perlu mengambil sikap ‘tunggu dan lihat’ kerana perlakuan anggota Hindraf sudah sampai ke tahap yang benar-benar menguji kesabaran orang Melayu dan umat Islam.
‘‘Hindraf adalah pertubuhan haram, tetapi saya hairan kenapa KDN masih membisu dan tidak berbuat apa-apa. Mereka telah mencemari perayaan umat Islam dengan perlakuan yang kurang ajar dan amat menyinggung perasaan orang Melayu di negara ini.
‘‘Perdana Menteri secara terbuka telah meluahkan perasaan kecewa terhadap mereka, maka saya mendesak Menteri Dalam Negeri supaya bertindak segera,’’ katanya.

SUMBER : UTUSAN MALAYSIA 081008

1 ulasan:

panglimapitas berkata...

betul tu BRO...
jangan kasi muka dengan dorang yang suka buat kecoh ni..